BE CONNECTED WITH US:

world-wide-web_318-9868    LinkedIn    Twitter    Facebook    Instagram   


 

Berita Harian- 'PMB Tijari sedia AS$10juta bantu biaya usahawan'

KUALA LUMPUR: PMB Tijari Bhd (PMB Tijari), komited membantu usahawan tempatan menembusi pasaran antarabangsa dengan menawarkan bantuan pembiayaan sebanyak AS$10 juta bermula awal 2020.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Wan Sazriz Wan Zaid, berkata dana khas itu untuk membantu syarikat yang menjalankan operasi di luar negara dan memperoleh tempahan dan bayaran dalam dolar AS.

Katanya, selari dengan matlamat PMB Tijari untuk menawarkan produk patuh Syariah, selain pembiayaan yang kompetitif dan inovatif, dana ini menyasarkan pembiayaan maksimum sebanyak AS$1 juta bagi setiap syarikat dalam jangka pendek supaya lebih banyak syarikat perusahaan kecil dan sederhana (PKS) meraih manfaat daripada inisiatif terbaharu ini.

“Tujuan kami adalah untuk membantu syarikat yang mempunyai kepakaran yang berpotensi untuk dikembangkan ke pasaran antarabangsa.

“Selain itu, sebagai entiti pelaburan, kami komited untuk menyokong usahawan dalam sektor mencabar terutama dalam sektor strategik seperti aeroangkasa, automotif, rel, tenaga boleh diperbaharui, peranti perubatan, bioteknologi dan industri halal,” katanya pada taklimat media di sini, baru-baru ini.

Dalam sesi itu, PMB Tijari turut mengumumkan meluluskan pembiayaan Tawarruq sebanyak RM8 juta kepada tiga syarikat Bumiputera - Usaha Teknikal Sdn Bhd ,WOG Global Resources Sdn Bhd dan Enviro Exceltech Sdn Bhd.

Mengulas lanjut, Wan Sazriz berkata, inisiatif dana dalam mata wang dolar AS itu bertujuan mengelakkan syarikat yang dibiayai daripada kesan kadar turun naik tukaran wang asing yang tidak menentu.

“Kita akan mula dana ini pada Januari tahun depan dan dijangka akan memanfaatkan kira-kira 30 PKS Bumiputera yang mempunyai perniagaan di luar negara.

“Tempoh pinjaman pula adalah kurang dari setahun atau maksimum lima tahun,” katanya.

Beliau berkata, sehingga kini, PMB Tijari sudah menawarkan pembiayaan sebanyak RM200 juta kepada kira-kira 100 usahawan dan jumlah berkenaan dijangka mampu mencecah RM300 juta membabitkan 200 usahawan tempatan, menjelang akhir tahun ini.

PMB Tijari yang ditubuhkan pada 2014 menawarkan tiga produk iaitu Al Ijarah (pajakan), Murabahah dan Tawarruq.

Menyentuh mengenai harapan menjelang Belanjawan 2020, Wan Sazriz berkata TIMB Tijari amat berharap kerajaan menyediakan dana khas kepada syarikat Tier 2 dan Tier 3 yang disifatkan kurang diberi perhatian dari segi pembiayaan.

“Selaku pembiayaan patuh syariah, kita mahu lihat sektor yang kurang diberi perhatian ini ada dana khas yang dapat disalurkan terus kepada mereka,” katanya.

https://www.bharian.com.my/bisnes/korporat/2019/10/615077/pmb-tijari-sedia-as10-juta-biaya-pengembangan-usahawan