BE CONNECTED WITH US:

world-wide-web_318-9868    LinkedIn    Twitter    Facebook    Instagram   


 

Kosmo - PMB Tijari bantu PKS 'kurang dilayan'

SEMBANG KORPORAT

PERUSAHAAN kecil dan sederhana (PKS) merupakan antara segmen perniagaan yang banyak bergantung kepada kemudahan pembiayaan untuk berkembang.

Bagaimanapun untuk mendapatkan pembiayaan bukan satu perkara yang mudah, banyak proses dan syarat daripada pemberi pinjaman yang adakalanya tidak mampu dipenuhi perusahaan, terutamanya mereka yang masih baharu.

Wartawan Kosmo!, IKHWAN IDERIS yang berpeluang bertemu Ketua Pegawai Eksekutif PMB Tijari Bhd., Wan Sazriz Wan Zaid di pejabatnya di Kuala Lumpur baru-baru ini melihat kesungguhan beliau untuk membantu usahawan dalam segmen yang digelar sebagai underserved atau kurang dilayan.

Menurut beliau, penilaian PMB Tijari berbeza dengan institusi kewangan biasa dan disebabkan faktor berkenaan, ia akan membolehkan syarikat tersebut memberi pinjaman kepada golongan sasar.

 

Kenapa PMB Tijari berminat membantu golongan underserved ini?

WAN SAZRIZ: Ia merupakan mandat yang diberikan kepada kami. Golongan ini perlu dibantu kerana mereka ini punya kepakaran, kebolehan dan pengalaman tetapi kadang-kadan keperluan daripada pihak bank tidak membolehkan mereka mendapat pembiayaan.

 

Kenapa pihak bank tidak berminat dengan golongan seperti ini?

Keperluan dan kekangan bank berbeza. Mana ada institusi kewangan yang ingin memberi jumlah pembiayaan yang signifikan kepada syarikat kecil, misalnya dengan kekuatan empat orang. Syarikat ‘pakar’ ini biasanya bermula dengan skop yang kecil.

 

Apa keperluan PMB Tijari dalam memberikan pembiayaan?

Kami lihat keupayaan syarikat untuk memenuhi kontrak mereka seperti dari segi pengurusan, kepakaran dan projek yang pernah dilaksanakan. Dalam penilaian PMB Tijari, kami tidak begitu kepada akaun kewangan syarikat mereka sebab nombor di dalamnya mungkin tidak menarik.

 

Berapa jumlah pembiayaan yang ditawarkan?

Sebelum ini kami tertakluk kepada jumlah pembiayaan antara RM500,000 sehingga RM5 juta. Namun kini ia ditingkatkan kepada RM10 juta sebab ada kes yang mana keperluan peminjam melebihi RM5 juta. Sekiranya dilihat semula, julat pembiayaan antara RM5 juta hingga RM10 juta tidak banyak ditawarkan oleh institusi dan kami cuba memenuhi keperluan ini.

Kami berharap untuk mengeluarkan pembiayaan sehingga RM100 juta tahun ini dan 40 peratus daripadanya telah digunakan. Kami harap selepas Perintan Kawalan Pergerakan ini akan terus berlaku peningkatan dari segi keperluan sebab itu kami sudah bersedia daripada segi had pembiayaan.

 

Bagaimana cara untuk memohon pinjaman?

PKS boleh memohon secara online www.pmbtijari.com.my. Dokumen yang diperlukan boleh dimuatnaik secara online.

 

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 Ogos 2020 @ 4:51 PM