BE CONNECTED WITH US:

world-wide-web_318-9868    LinkedIn    Twitter    Facebook    Instagram   


 

MyMetro - Sedia dana RM200 juta

KUALA LUMPUR: Pelaburan Mara Berhad (PMB) menerusi anak syarikatnya, PMB Tijari Berhad meneruskan komitmen sebagai pembiaya patuh syariah dengan menyediakan dana kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) untuk berkembang di pasaran luar negara.

Antara sektor menjadi tumpuan PMB Tijari adalah industri mencabar dan ada permintaan tinggi seperti aeroangkasa, automotif, rel, tenaga diperbaharui, teknologi perubatan, bioteknologi dan industri halal.

 

Ketua Pegawai Eksekutif PMB Tijari, Wan Sazriz Wan Zaid berkata, pihaknya menawarkan dana dalam mata wang dolar Amerika Syarikat (AS) berjumlah AS$10 juta bermula Januari 2020.

 

Beliau berkata, peruntukan dana itu dijangka dapat membantu dan memberi manfaat kepada 30 hingga 40 usahawan tempatan meneroka peringkat global.

“Untuk syarikat tempatan ke luar negara bukan tugas mudah kerana mereka perlu bukti keupayaan mereka bersaing di pentas global dan memerlukan sokongan institusi kewangan.

“Jadi menerusi dana dalam bentuk dolar AS ini, setiap syarikat menerima maksimum sehingga AS$1 juta dalam bentuk pembiayaan kontrak di luar negara dengan tempoh pinjaman antara enam bulan sehingga lima tahun.

“Inisiatif ini juga membolehkan kita mengeksport kepakaran tempatan ke luar negara,” katanya di sini, baru-baru ini.

Wan Sazriz berkata, pihaknya menyediakan pembiayaan RM200 juta membabitkan 100 usahawan.

“Kami harap untuk meningkatkan jumlah pembiayaan kepada RM300 juta dengan pembabitan 80 hingga 100 lagi usahawan menjelang hujung tahun,” katanya.

Pada masa sama, PMB Tijari turut mengumumkan meluluskan pembiayaan Tawarruq RM8 juta kepada tiga syarikat Bumiputera - Usaha Teknikal Sdn Bhd ,WOG Global Resources Sdn Bhd dan Enviro Exceltech Sdn Bhd.

Pengarah Urusan Usaha Teknikal, Syed Sadiq Obaidi Albar berkata, syarikatnya pernah berdepan situasi sukar sebelum mampu membawa syarikat yang mengkhusus kepada sistem peralatan pelabuhan dan perkhidmatan kejuruteraan itu melonjak maju ke hadapan.

Sementara itu, Pengarah Urusan Enviro Exceltech, Zamzam Tuah Ahmad Ramly menyifatkan bagi sektor baharu diceburi syarikatnya memberi lebih keyakinan kepada para pelanggan apabila PMB Tijari memberi sokongan pembiayaan.