BE CONNECTED WITH US:

world-wide-web_318-9868    LinkedIn    Twitter    Facebook    Instagram   


 

PMB TIJARI SASAR TINGKAT PEMBIAYAAN PATUH SYARIAH

 

KUALA LUMPUR: PMB Tijari Bhd (PMB Tijari) menyasarkan peningkatan pembiayaan patuh syariah, terutama kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) kepada RM600 juta menjelang 2022.

Pembiayaan bagi tempoh tiga tahun yang diperuntukkan PMB Tijari, iaitu anak syarikat Pelaburan Mara Bhd (PMB) itu dijangka dapat membantu 400 usahawan Bumiputera yang memiliki keupayaan untuk terus berkembang.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Wan Sazriz Wan Zaid, berkata PMB Tijari yang ditubuhkan pada 2014 menawarkan tiga produk iaitu Al Ijarah (pajakan), Murabahah dan Tawarruq.

"Sehingga kini, kami sudah menawarkan pembiayaan sebanyak RM200 juta kepada kira-kira 100 usahawan. Jumlah berkenaan dijangka dapat mencecah RM300 juta dan dapat membantu 200 usahawan tempatan, menjelang akhir tahun ini.

"Matlamat kami bukan hanya untuk menyediakan keperluan pembiayaan kepada usahawan berpotensi, tetapi pada masa sama melahirkan usahawan Bumiputera berjaya dalam perniagaan seterusnya berkeupayaan untuk bersaing pada peringkat global," katanya dalam satu temu bual di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Wan Sazriz berkata, matlamat PMB Tijari bukan sekadar menyalurkan pembiayaan, malah menjadikan mereka sebagai 'rakan' dalam melancarkan operasi perniagaan.

"Kami mempunyai visi untuk menjadi peserta yang signifikan dalam menyediakan penyelesaian kewangan patuh shariah bagi pasaran domestik sehingga ke peringkat global.

“Apa yang menjadi keutamaan adalah untuk menyampaikan nilai terbaik dan servis kewangan berkualiti tinggi dalam industri khususnya usahawan yang kurang mendapat perhatian bank dan institusi kewangan lain," katanya.

Beliau berkata, pada masa ini, pihaknya menawarkan pembiayaan bagi jangka pendak dan panjang dengan nisbah 60:40.

"Tempoh pembiayaan yang ditawarkan kurang daripada setahun sehingga tiga tahun. Kami juga lebih memfokuskan kepada syarikat yang sudah berada di peringkat komersial dan berpotensi tinggi untuk memperoleh tawaran projek.

"Pada masa sama, kami berusaha untuk meningkatkan tawaran pembiayaan jangka pendek sebagai usaha membantu lebih banyak usahawan tempatan memperoleh pinjaman," katanya.

Setakat ini, katanya antara sektor paling banyak menerima pembiayaan daripada PMB Tijari adalah daripada industri teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) serta logistik.

“Kami tidak tertakluk kepada segmen tertentu untuk memberikan perkhidmatan pembiayaan ini kerana mahu memberi peluang sebanyak mungkin kepada usahawan di luar sana.

“Pembiayaan maksimum yang diberikan kepada setiap usahawan adalah RM5 juta, namun terdapat kes tertentu jumlah berkenaan dinaikkan mengikut kesesuaian serta keperluan sektor perniagaan yang dijalankan," katanya.


https://www.bharian.com.my/bisnes/korporat/2019/06/572593/pmb-tijari-sasar-tingkat-pembiayaan-patuh-syariah