06-03-2025

ICD MENINGKATKAN PEGANGAN DALAM PMB TIJARI KEPADA 33 PERATUS

Makkah: Perbadanan Islam bagi Pembangunan Sektor Swasta (ICD) telah meningkatkan pegangan sahamnya dalam PMB Tijari Sdn Bhd kepada 33 peratus bagi memperluaskan penglibatannya dalam perniagaan pajakan syariah di Malaysia, kata Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Pelaburan MARA Berhad (PMB), Nazim Rahman.

“Peningkatan ekuiti ini mencerminkan keyakinan ICD terhadap potensi kejayaan perkongsian ini dan terhadap pertumbuhan ekonomi Malaysia memandangkan kejayaan PMB Tijari sebagai sebuah syarikat perkhidmatan kewangan amat berkait rapat dengan pertumbuhan dan kedalaman sektor swasta di Malaysia. Ketika PMB memperoleh PMB Tijari pada Januari (tahun ini), pegangan ICD hanya 10 peratus,” kata Nazim, sambil menambah bahawa cabang perkhidmatan kewangan jenama baharu PMB itu dahulunya dikenali sebagai KFH Ijarah House (Malaysia) Sdn Bhd.

“Sokongan institusi yang diberikan oleh PMB dan ICD akan membolehkan PMB Tijari berkembang melebihi pasaran tempatan dan kami berharap dapat memanfaatkan sumber kedua-dua pihak untuk merealisasikan objektif ini,” katanya kepada Bernama.

ICD ialah sebuah organisasi pelbagai hala dan sebahagian daripada Kumpulan Bank Pembangunan Islam (IDB) manakala PMB adalah sebuah syarikat pelaburan dan pengurusan aset milik penuh Majlis Amanah Rakyat (MARA).