KENYATAAN MEDIA - PERINTIS Dilancarkan untuk Memperkasa Vendor PKS Tempatan; Meningkatkan Pertumbuhan Perniagaan ke Arah Kelestarian

22-04-2025

PERINTIS menyediakan kemudahan pembiayaan yang menyeluruh dan fleksibel serta khidmat nasihat untuk vendor PKS tempatan TM.
TM komited memperkukuh ekosistem vendor dan mempercepat transformasi vendor melalui program pembangunan dan peningkatan kemahiran berterusan.
TM terus menyokong dan membangunkan usahawan tempatan terutamanya dalam ekonomi baharu yang menyokong Revolusi Industri 4.0 (IR4.0) demi kelestarian dan pertumbuhan mereka.


Sebagai sebahagian daripada usaha membina negara dan memastikan kelangsungan vendor tempatan, Telekom Malaysia Berhad (TM) hari ini mengumumkan kerjasama dengan institusi kewangan terpilih untuk melancarkan Program Pembiayaan Vendor TM yang dinamakan "PERINTIS".

Program ini melibatkan 14 institusi kewangan yang akan menyediakan kemudahan pembiayaan dan khidmat nasihat kepada vendor PKS tempatan TM. Institusi-institusi tersebut adalah:

  • Bank Islam Malaysia Berhad

  • Maybank Islamic Berhad

  • CIMB Bank Berhad

  • Bank Muamalat Malaysia Berhad

  • RHB Islamic Bank Berhad

  • United Overseas Bank (Malaysia) Bhd

  • HSBC Bank Malaysia Berhad

  • SME Bank

  • Bank Rakyat

  • Perbadanan Usahawan Nasional Berhad

  • PMB Tijari Berhad

  • Bay Group Holdings Sdn Bhd

  • Commerze Capital Sdn Bhd

  • El-Nuwr Capital Sdn Bhd

Sebagai simbolik kerjasama untuk program PERINTIS, satu Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) telah diadakan antara TM dan kesemua 14 institusi tersebut. MoU ditandatangani oleh Imri Mokhtar, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan TM, manakala pihak institusi kewangan diwakili oleh ketua masing-masing. Majlis disaksikan oleh YB Dato' Sri Dr. Hj. Wan Junaidi Tuanku Jaafar, Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, bersama Tan Sri Dato' Seri Mohd Bakke Salleh, Pengerusi TM. Turut hadir, Dato’ Sri Haji Mohammad Mentek, Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi, dan Datuk Haji Zamri Salleh, Timbalan Ketua Setiausaha Pembangunan Usahawan.