KENYATAAN MEDIA - PMB Tijari Meluaskan Kerjasama Strategik untuk Memperkasa Daya Tahan Perniagaan Bumiputera

01-05-2026


KUALA LUMPUR, 1 May 2026 – Rural Capital Berhad (RCB) hari ini melancarkan Skim Pembiayaan Kontrak Perkhidmatan & Pembekalan (SKOPP), satu inisiatif bernilai RM20 juta yang direka untuk memperkukuh sokongan modal kerja serta meningkatkan keupayaan pelaksanaan kontrak dalam kalangan kontraktor Bumiputera.

Skim ini akan memberi tumpuan utama kepada projek di bawah Program Perumahan Rakyat Sejahtera (PPRS), sekali gus menyokong usaha nasional dalam penyediaan perumahan berkualiti di samping memperkasa penyertaan Bumiputera dalam projek berkaitan kerajaan.

Majlis pelancaran telah disempurnakan oleh Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Wira Dr. Asyraf Wajdi Dato’ Dusuki, bersempena sambutan ulang tahun ke-60 MARA yang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur. Hadir sama, Pengerusi RCB, Datuk Noor Hariri Mohamed Noor; Ketua Pegawai Eksekutif RCB, Tuan Haji Hiruddin Hashim; serta wakil pengurusan kanan MARA, RCB, PMB Tijari dan agensi rakan strategik.

Sebagai sebahagian daripada inisiatif ini, RCB telah menyampaikan replika pembiayaan berjumlah RM20 juta, merangkumi RM10 juta kepada Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) dan RM10 juta kepada Felcra Bina Sdn Bhd.

Menurut Datuk Noor Hariri, SKOPP mencerminkan komitmen berterusan RCB dalam menyediakan penyelesaian pembiayaan bersasar yang menangani jurang struktur yang dihadapi oleh kontraktor Bumiputera.

“Kerjasama RCB sebelum ini bersama GIATMARA telah membuktikan bahawa pembiayaan yang bersasar dan tersusun mampu meningkatkan daya tahan perniagaan serta keupayaan pelaksanaan projek dalam kalangan usahawan Bumiputera. Sehingga kini, sebanyak 135 kontrak telah dibiayai dengan nilai keseluruhan RM8.3 juta, disokong dengan prestasi bayaran balik yang kukuh serta pertumbuhan perniagaan yang dapat diukur.

“Menerusi SKOPP, kami memperluaskan pendekatan ini dengan memberi tumpuan kepada segmen berimpak tinggi seperti JAKOA dan FELCRA, di mana kontraktor sering berdepan kekangan akses kepada pembiayaan formal walaupun mempunyai saluran projek yang kukuh. Inisiatif ini bertujuan membuka potensi mereka, meningkatkan kecekapan pelaksanaan serta memastikan penyertaan yang lebih inklusif dalam program pembangunan negara.

“RCB akan terus memperluaskan capaian ke sektor dan agensi lain termasuk infrastruktur, pembangunan luar bandar dan ekonomi hijau, selaras dengan matlamat kami untuk memajukan pembiayaan yang mampan dan inklusif,” tambah beliau.

Pelancaran ini diadakan bersempena forum bertajuk “Bridging Financing Gaps for Bumiputera Entrepreneurs: From Access to Sustainable Growth”, yang dianjurkan oleh RCB dengan kerjasama PMB Tijari Berhad (PMB Tijari), kedua-duanya merupakan anak syarikat di bawah Kumpulan MARA Corporation yang menyediakan pelbagai saiz kemudahan pembiayaan.

Forum ini turut menampilkan dua pelanggan PMB Tijari dan dua usahawan Skim Pembiayaan Ekonomi Desa (SPED) yang berkongsi pengalaman perniagaan mereka, dengan peningkatan pendapatan sehingga 30% selepas menerima sokongan pembiayaan berstruktur, sekali gus membuktikan impak nyata penyelesaian pembiayaan RCB terhadap kelestarian dan perkembangan perniagaan.

Acara ini menghimpunkan kepimpinan institusi utama termasuk wakil daripada RCB, PMB Tijari, Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM), Felcra Berhad dan JAKOA, sekali gus mencerminkan sokongan kukuh pelbagai agensi terhadap SKOPP sebagai pemangkin dalam memperkasa ekosistem keusahawanan Bumiputera.

Majlis ini turut menyaksikan pertukaran kerjasama strategik antara PMB Tijari, yang diwakili oleh Ketua Pegawai Eksekutifnya, Puan Hajah Norleza Abu Bakar, bersama beberapa rakan strategik utama, antaranya Persatuan Wanita Bumiputra Dalam Perniagaan Profesion Malaysia (Peniagawati); Malaysian Industry-Government Group for High Technology (MIGHT); Persatuan Industri Tenaga Boleh Baharu dan Alam Sekitar (PINTARE); Persatuan Bekas Pelajar Maktab Rendah Sains MARA (ANSARA) dan Universiti Malaysia Perlis (UniMAP).

Menurut Puan Hajah Norleza Abu Bakar, kerjasama ini mencerminkan komitmen PMB Tijari dalam memperkukuh ekosistem keusahawanan Bumiputera secara lebih menyeluruh dan berimpak tinggi. “Melalui kolaborasi strategik ini, kami bukan sahaja memperluas akses kepada pembiayaan, malah memberi penekanan kepada pembangunan kapasiti serta pengukuhan jaringan industri bagi memastikan usahawan Bumiputera lebih berdaya tahan dan kompetitif dalam jangka masa panjang,” katanya.

Beliau menambah bahawa PMB Tijari akan terus memperluaskan kerjasama dengan pelbagai pihak bagi merapatkan jurang pembiayaan dan mempercepat pertumbuhan usahawan ke arah skala yang lebih mampan, sekali gus memperkukuh sokongan ekosistem merangkumi akses pembiayaan, pembangunan kapasiti serta jaringan industri.

Majlis kemudiannya diakhiri dengan sesi dialog bersama Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Wira Dr. Asyraf Wajdi Dato’ Dusuki, yang berinteraksi secara langsung dengan para usahawan yang hadir.

Untuk maklumat lanjut mengenai RCB dan PMB Tijari, sila layari www.ruralcapital.com.my / www.pmbtijari.com.my.
 
– Tamat –