PEMBIAYAAN FLEKSIBEL KPS

27-06-2023

PEMBIAYAAN FLEKSIBEL KPS

Kuala Lumpur: PMB Tijari Bhd (PMB Tijari), syarikat kerjasama Pelaburan MARA Bhd (Pelaburan MARA) dan Kumpulan Islamic Development Bank (IDB) memperuntukkan pembiayaan patuh syariah khusus untuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS) berjumlah RM200 juta tahun ini.

Pemangku Ketua Pegawai Eksekutifnya Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin berkata, peruntukan itu lebih tinggi berbanding RM180 juta pada 2014 hingga tahun lalu, bakal dimanfaatkan 40 usahawan tempatan.

Katanya, pembiayaan fleksibel berdasarkan keperluan semasa syarikat membabitkan jumlah maksimum RM15 juta itu akan membantu PKS yang memiliki kepakaran khusus dalam bidang perniagaan, tetapi berdepan kekangan modal memulakan perniagaan.

“PMB Tijari menawarkan pembiayaan fleksibel kepada usahawan tempatan khususnya PKS yang tidak mendapat pinjaman bank kerana masih baru dalam perniagaan ini adalah satu keperluan kepada PKS, kami tampil dengan skim pembiayaan khusus dan ia terbuka kepada semua sektor perniagaan.

“Apa yang penting, PKS perlu memiliki kepakaran khusus dalam perniagaan yang diceburi dan mendapat peluang perniagaan termasuk kontrak kerajaan atau daripada syarikat berkaitan kerajaan (GLC),” katanya, di sini.

PMB Tijari yang mula menawarkan pembiayaan pada 2014 hingga tahun lalu sudah menyalurkan pembiayaan berjumlah RM180 juta kepada 83 usahawan dan semua PKS berkenaan berjaya menguruskan operasi perniagaan dan mendapat pelbagai kontrak dalam pelbagai bidang termasuk pembuatan, perkilangan dan makanan.

Tengku Ahmad Badli Shah yang juga Ketua Pegawai Operasi Pelaburan MARA berkata, walaupun pembiayaan itu ditawarkan kepada syarikat baru, namun syarat kelulusan juga sebenarnya amat mudah yang mana PMB Tijari hanya mengambil masa dua hingga tiga minggu untuk menyalurkan pembiayaan selepas melalui proses penilaian wajar.

“Penilaian wajar kami adalah berdasarkan standard aplikasi kredit, di mana kita amat mementingkan pembangunan keusahawanan berbanding syarat kewangan ketat seperti mana yang diamalkan syarikat kewangan lain,” katanya.