Menyedari hakikat itu, Pelaburan Mara Berhad menerusi anak syarikatnya, PMB Tijari Berhad sebagai pembiaya patuh syariah mengambil inisiatif menyediakan dana yang boleh direbut perusahaan kecil dan sederhana (PKS) supaya mereka mampu berkembang di peringkat antarabangsa.

Dana dalam mata wang dolar Amerika Syarikat (AS) berjumlah AS$10 juta (RM41.91 juta) itu akan mula ditawarkan pada Januari 2020 yang memberi manfaat kepada 30 hingga 40 usahawan tempatan.

Ketua Pegawai Eksekutif PMB Tijari, Wan Sazriz Wan Zaid berkata, setiap syarikat akan menerima maksimum sehingga AS$1 juta (RM4.19 juta) dalam bentuk pembiayaan kontrak di luar negara dengan tempoh pinjaman antara enam bulan sehingga lima tahun.

“Ini selaras dengan usaha kita untuk mengeksport kepakaran tempatan ke peringkat antarabangsa terutama melibatkan bidang-bidang mencabar ­seperti aeroangkasa, automotif, rel, tenaga diperbaharui, teknologi perubahan, bioteknologi dan industri halal,” katanya di sini baru-baru ini.

Setakat ini, PMB Tijari menyediakan pembiayaan berjumlah RM200 juta melibatkan 100 usahawan dan menyasarkan untuk meningkatkan jumlah pembiayaan kepada RM300 juta dengan penglibatan antara 80 hingga 100 lagi usahawan menjelang hujung tahun ini.

Menurut beliau, pihaknya menyedari kesukaran PKS untuk berkembang di luar negara disebabkan kekangan kewangan dan keadaan itu sangat merugikan kerana mereka mempunyai kepakaran tertentu yang diperlukan di peringkat serantau.

Langkah PMB itu disokong Pengarah Urusan Usaha Teknikal Sdn. Bhd., Syed Sadiq Obaidi Albar, yang pernah berdepan situasi sama sebelum mampu membawa syarikat yang mengkhusus kepada sistem peralatan pelabuhan dan perkhidmatan kejuruteraan itu melonjak maju ke hadapan.

“Dengan pembiayaan ini, ia bukan sahaja mencerminkan keyakinan PMB Tijari dengan keupayaan kami tetapi membolehkan kami berkembang dengan terlibat dalam pelbagai projek,” katanya yang mempunyai operasi di Brunei sejak dua tahun lalu.

Jelasnya, ia juga dapat membantu mereka mengukuhkan kedudukan di peringkat serantau de­ngan sasaran kini di Indonesia dan Vietnam dalam tempoh tiga tahun lagi.

Pengarah Urusan Enviro Exceltech Sdn. Bhd. Zamzam Tuah Ahmad Ramly pula menyifatkan bagi sektor baharu yang diceburi syarikatnya akan memberi lebih keyakinan kepada para pelanggan menerusi sokongan PMB Tijari.

“Untuk ke hadapan, kami yakin mampu berkembang dalam industri makanan halal di ASEAN selepas memperoleh projek sebagai pengedar bagi pembekalan mesin penyediaan sandwich secara automatik yang diimport dari Itali.

“Selain cuba memenuhi pasaran di Indonesia, kami juga sedang menjalankan promosi dengan syarikat penerbangan Emirates. Dengan sokongan ini, kami yakin mampu pergi jauh,” katanya.

Dalam pada itu, Pengarah Urusan WOG Global Resources Sdn. Bhd. Muhammad Anas Marjunit berkata, pengalaman yang dilalui sebagai sub kontraktor bumiputera sejak 1994 hingga 2000 sukar dilupakan kerana melalui pelbagai kesusahan mendapatkan bantuan kewangan.

“Kami kemudiannya berubah kepada kontraktor utama tetapi ia memerlukan pelaburan yang besar dari segi kakitangan dan juga peralatan mesin. ­Banyak kerenah dan prosedur kami lalui sebelum mampu memperkukuhkan kedudukan syarikat dalam sektor minyak dan gas, pembinaan dan industri peralatan perubatan,” katanya.