BERITA HARIAN - 25 IPTS TERIMA TAWARAN PEMBIAYAAN PENJANA RM155.3 juta

27-06-2023

BERITA HARIAN - 25 IPTS TERIMA TAWARAN PEMBIAYAAN PENJANA RM155.3 juta

KUALA LUMPUR: Sebanyak 25 institusi pendidikan tinggi swasta (IPTS) tempatan menerima tawaran pembiayaan di bawah Skim Pembiayaan Mudah Jaya (SPiM) Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) IPTS berjumlah RM155.3 juta.

Pengerusi Pelaburan MARA Berhad (PMB) Tijari Berhad (PMB Tijari), Fauzi Rahmat, berkata , tawaran itu bagi membantu IPTS meneruskan kelangsungan operasi yang terjejas akibat penularan COVID-19.

Beliau berkata, daripada jumlah itu, sebanyak 13 IPTS sudah mengemukakan dokumen lengkap bagi membolehkan pembiayaan oleh MARA itu disalurkan.

Katanya, had pembiayaan ditawarkan di bawah SPiM PENJANA IPTS adalah antara RM500,000 dan RM50 juta mengikut kriteria kredit serta kelayakan ditetapkan.

 

"Bantuan pembiayaan perniagaan patuh syariah ini bertujuan menampung keperluan perbelanjaan kos operasi saja dan tidak membabitkan perbelanjaan modal.

"PMB Tijari selaku ejen pelaksana akan memproses permohonan dan membuat penilaian dengan mengambil kira semua syarat yang ditetapkan MARA sebelum memberikan sebarang kelulusan," katanya.

Beliau berkata pada sidang media selepas Majlis Penyampaian Cek Pembiayaan dan Surat Tawaran SPiM PENJANA IPTS di sini, hari ini.

Penyampaian disempurnakan Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Dr Abd Latiff Ahmad di sini. Yang turut hadir, Ketua Pengarah MARA, Datuk Azhar Abdul Manaf.

Fauzi berkata, bagi memastikan hanya IPTS layak saja memohon, pihaknya akan ke universiti terbabit bagi melihat sendiri kesan COVID-19 ke atas operasi universiti, serta keupayaan mereka untuk membayar balik.

Pada majlis itu, tiga IPTS menerima cek dan surat tawaran bantuan pembiayaan SPiM PENJANA IPTS iaitu MSU Holdings Sdn Bhd (MSU) dan Malaysia Allied Health Science Academy (MAHSA) yang masing-masing menerima RM50 juta, manakala City University berjumlah RM28 juta.

MSU diwakili Presidennya, Prof Tan Sri Dr Mohd Shukri Ab Yajid; MAHSA oleh Pro Canselor dan Pengerusi Eksekutifnya, Prof Tan Sri Dr Mohamed Haniffa Abdullah serta City University oleh Naib Canselornya, Prof Datuk Seri Dr Mohamed Mustafa Ishak.

Aritkel Penuh : https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2021/03/798003/25-ipts-terima-tawaran-pembiayaan-penjana-rm1553-juta