27-06-2023
PUTRAJAYA: Kerajaan memperuntukkan RM300 juta untuk Skim Pembiayaan Mudah Jaya (SPiM) kepada Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) melalui Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA).
SPiM bertujuan membantu dan memastikan kelangsungan perniagaan pengusaha IPTS Bumiputera yang terjejas akibat penularan wabak COVID-19 serta mampu meringankan beban yang mereka tanggung.
Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Dr Abd Latiff Ahmad, berkata MARA sebagai agensi pelaksana diperuntukkan RM300 juta, yang mana RM150 juta diperuntukkan pada tahun 2020 dan baki RM150 juta pula diperuntukkan pada tahun 2021.
"SPiM PENJANA IPTS akan dilaksanakan sepenuhnya oleh anak syarikat MARA dengan had pembiayaan tidak melebihi RM50 juta. Penilaian had pembiayaan adalah tertakluk kepada keperluan serta keupayaan bayaran balik pembiayaan pemohon," katanya dalam kenyataan hari ini.
Keputusan bagi pelaksanaan skim itu dipersetujui Kabinet dalam mesyuaratnya pada 21 Oktober lalu.
IPTS Bumiputera yang berdaftar di bawah Akta Institusi Pendidikan Tinggi Swasta 1996 [Akta 555], adalah kumpulan sasar yang layak untuk memohon Skim Pembiayaan Mudah Jaya (SPiM) di bawah Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) untuk IPTS Bumiputera ini.
Semua permohonan boleh dibuat secara atas talian di pautan www.pmbtijari.com.my/spimpenjana. Soalan-soalan lazim dan perincian permohonan boleh didapati di pautan tersebut.
https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2020/10/747333/rm300-juta-untuk-skim-pembiayaan-mudah-jaya-ipts